ALOR SETAR, 18 Julai – Tahan…. Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menahan empat lelaki dan merampas 25 batang balak jenis meranti bernilai lebih RM100,000 dalam dua serbuan di Hutan Simpan Gunung Bongsu, Serdang dekat sini minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Abu Hasan, berkata pihaknya juga merampas dua buah pacuan empat roda, sebuah Excavator Hitachi, satu unit gergaji berantai dan sebuah lori dalam serbuan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Katanya, operasi khas disertai tiga pegawai dan 17 anggota yang diketuai Pegawai Hutan Daerah Kedah Selatan, Mohd Faisal Nasaruddin itu “Empat lelaki berusia antara 23 hingga 48 tahun ini diberkas berasingan iaitu tangkapan pertama pada kira-kira jam 9.40 pagi Khamis membabitkan dua lelaki manakala dua lagi lelaki ditahan keesokkan hari pada 10.40 pagi.

“Semua suspek dipercayai aktif sejak awal tahun ini apabila menceroboh hampir 20 hektar hutan kekal di kawasan terbabit dengan menggunakan taktik berpindah dari satu tempat ke tempat lain supaya kegiatan mereka tidak dikesan orang awam dan pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Nasir berkata, sindiket terbabit mensasarkan hutan simpan kekal berhampiran kampung yang mempunyai jalan mini tar, jalan kebun getah dan kelapa sawit sekitar Kulim, Bandar Baharu, Selama dan Mahang.

“Kami kini terpaksa melakukan usaha pemulihan hutan dengan menanam semula pokok yang dianggarkan berjumlah RM40,000.

“Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 ( Pindaan 1993) dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM500,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – WD MY