PUTRAJAYA, 20 Jun – Kesan….. Pihak Jabatan Imigresen kecewa apabila hanya 131, 269 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didaftarkan majikan sehingga kini bagi permohonan kad sementara (E-Kad) yang membolehkan penggajian semula PATI dilakukan kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata permohonan itu jauh daripada jumlah antara 400,000 hingga 600,000 PATI yang disasarkan pihaknya untuk mendaftar bermula 15 Februari hingga 30 Jun ini.

“Sehingga kini seramai 21,789 majikan yang sudah tampil bagi permohonan pekerja mereka dan sebanyak 131,260 E-Kad sudah dikeluarkan di seluruh negara.

“Jabatan Imigresen kecewa dengan jumlah permohonan, yang mana kita lihat banyak majikan menunggu saat-saat akhir untuk mengemukakan permohonan mereka.

“Ingin ditegaskan bahawa kami tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran ini dan bermula 1 Julai, gerakan besar-besaran menggempur PATI akan dilakukan di seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau pendaftaran E-Kad di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh operasi bagi pendaftaran E-Kad di semua kaunter imigresen seluruh negara akan dipanjangkan sehingga jam 12 tengah malam iaitu pada 28, 29 dan 30 Jun ini.

“Justeru, mana-mana majikan sepatutnya mengambil peluang ini untuk mendaftarkan pekerja mereka kerana tempoh permohonan tidak akan dilanjutkan selepas 30 Jun,” katanya. – WD MY