ALOR SETAR, 24 Nov – ROHIGNYA….. Jabatan Imigresen negeri membebaskan 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik, semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata pembebasan dilakukan selepas semua etnik Rohingta terbabit menjalani penahanan di depoh berkenaan untuk tempoh dua tahun atas kesalahan tiada sebarang pas atau dokumen sah.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada 86 lelaki dan lapan wanita bersama lima kanak-kanak lelaki serta tiga kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 51 tahun.

“Semua tahanan yang dibebaskan itu dibawa menaiki dua bas dan diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Zuhair berkata, selepas pembebasan 102 etnik Rohingya itu, Depoh Tahanan Imigresen Belantik kini memiliki 386 lagi tahanan warga Myanmar etnik Rohingya.

Katanya, ia membabitkan 369 lelaki, tujuh wanita, enam kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Kita jangkakan 190 tahanan etnik Rohingya lagi akan dibebaskan selepas menerima kad pelarian UNHCR tidak lama lagi,” katanya.

Zuhair berkata, dengan pembebasan semua tahanan berkenaan, depoh di negeri ini mampu menampung lebih ramai pendatang asing tanpa izin yang diberkas melalui operasi imigresen dari semasa ke semasa. – WD MY