JOHOR BAHRU, 10 FEB – TAHAN…. Jabatan Laut Malaysia menahan kapal pengangkut pukal berdaftar di Greece, MV Pireas susulan kejadian pelanggaran dengan kapal MV Polaris yang berlaku di perairan Malaysia, semalam.

Perkara itu dinyatakan Wisma Putra dalam satu kenyataan berhubung insiden berkenaan, semalam.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar mengesahkan kapal pengangkut pukal, MV Pireas berlanggar dengan MV Polaris, milik Jabatan Laut Malaysia dalam kawasan perairan negara pada jam 2.26 petang.

Katanya, MV Pireas dilihat memasuki Had Pelabuhan Johor Bahru, dalam perairan Malaysia pada jam 2.15 petang.

“Ketika berkomunikasi dengan MV Polaris, MV Pireas memberi maklum balas kapal itu menjauhkan kedudukannya dari MV Polaris.

“Walaupun komunikasi yang jelas dan definitif diberikan, pelanggaran berlaku sehingga kedua-dua kapal berjauhan antara satu sama lain pada jam 2.36 petang.

“Jabatan Laut Malaysia menahan kapal Greece itu dan anak kapal bagi tujuan siasatan awal mengikut Seksyen 334(1) Ordinan Perkapalan Malaysia 1952,” katanya.

Wisma Putra memaklumkan tiada kecederaan atau kejadian tumpahan minyak dilaporkan akibat pelanggaran berkenaan.

“Jabatan Laut Malaysia menasihatkan kapal yang berada dalam Had Pelabuhan Johor Bahru di dalam perairan Malaysia untuk berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Insiden itu bagaimanapun tidak menghalang aliran lalu lintas (di perairan berkenaan) dan jauh dari kawasan Skim Pemisahan Lalu Lintas,” katanya.

Wisma Putra berkata, Malaysia komited untuk mengambil langkah sewajarnya untuk menjaga integriti wilayah, kepentingan dan navigasi selamat untuk semua kapal.

Terdahulu, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA), kejadian berlaku pada jam 2.28 petang ketika kapal pengangkut pukal Pireas itu dalam pelayaran dari Singapura ke hentian seterusnya di Pelabuhan Tanjung Pelepas. – WD MY