KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata
Kerajaan akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam proses pengambilalihan pegangan saham
sepenuhnya Bernama TV Synergy Sdn Bhd kerana ia melibatkan kerajaan.

Menurut beliau, ia bagi memastikan keseluruhan perkara diselesaikan mengikut aturan undang-undang.

“Proses perundingan di peringkat akhir, bagaimanapun kami juga akan serahkan
kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk melihat perkara ini kerana ia
melibatkan kerajaan.

“Kami tidak mahu membuat sesuatu yang tidak mengikut undang-undang,” katanya
kepada media di lobi Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata proses perundingan dengan pemegang saham syarikat itu
melibatkan beberapa perkara termasuk membolehkan Pertubuhan Berita Nasional
Malaysia (Bernama) mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam syarikat itu
yang melibatkan penstrukturan saham dan operasi Bernama TV.

Ahmad Shabery berkata terdapat beberapa tuntutan yang dikemukakan pihak
pemegang saham, dan kerajaan perlu meneliti tuntutan itu supaya ia tidak
merugikan kerajaan.

Terdahulu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat Ahmad Shabery berkata
Bernama kini sedang membuat perundingan untuk memiliki sepenuhnya Bernama TV
yang mana dengan berbuat demikian, ia membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan
kepada Bernama yang memiliki 33 peratus saham di stesen televisyen itu.

Bernama TV dimiliki Bernama TV Synergy Sdn Bhd (BRTV) yang ditubuhkan pada
2008 bagi menguruskan siaran 24 jam di saluran Astro 502.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata format penyiaran berita Bernama TV
perlu dikaji semula kerana penggunaan empat bahasa dalam beritanya tidak sesuai
dalam konteks penyiaran masa kini.

“Pada pandangan saya (format empat bahasa) tidak begitu sesuai sekarang
kerana dalam mana-mana saluran berita orang mahukan kesinambungan apabila
menonton. Ini bukan sentimen nak buang mana-mana bahasa,” katanya.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY