NEW YORK, 6 April – Antara Nama Di Dalam Panama Papers… Selebriti antarabangsa termasuk Jackie Chan, Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai didakwa antara 11.5 juta pemegang akaun luar pesisir yang disenaraikan dalam Panama Papers.

Dokumen rahsia yang dibongkar Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) sejak 3 April lalu menggemparkan dunia apabila membariskan nama golongan elit dunia membabitkan pemimpin negara, artis, bintang sukan serta tokoh perniagaan.

Organisasi yang berpangkalan di Washington itu turut menegaskan data atau dokumen yang disebut Panama Papers itu diperoleh daripada sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca.

Daripada senarai rekod kewangan berkenaan, aktor Hong Kong yang menempa nama di Hollywood itu dikatakan memiliki sekurang-kurangnya enam syarikat di bawah kendalian firma terbabit.

Ikon perfileman Bollywood, Bachchan pula didedahkan memiliki aset bernilai jutaan dolar hasil syarikat pengiriman barang yang beroperasi sejak 23 tahun lalu.

Beliau dan menantunya, Aishwarya Rai disebut sebagai pemegang saham utama bagi keempat-empat syarikat sejak 2008, tetapi sumber memaklumkan bintang veteran itu sudah lama melepaskan pegangannya.

Di pihak aktres jelita itu pula, beliau mengatakan berita yang disebarkan sejak beberapa hari lalu adalah palsu sekali gus cuba merosakkan namanya serta keluarga mentua.

Sementara itu, pihak ICIJ mengumumkan bakal menyiarkan senarai penuh rekod kewangan semua syarikat yang terbabit dalam skandal ini menjelang Mei depan.

Susulan daripada pendedahan ICIJ, Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson mengumumkan meletakkan jawatannya, semalam. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY