KUALA LUMPUR, 22 Okt – RASMIKAN….. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini merasmikan jalan sambungan yang menghubungkan kawasan Desa Petaling dengan Kampung Malaysia Tambahan di sini yang bernilai RM8.8 juta dibuka kepada pengguna jalan raya bermula hari ini.

Ia sekali gus menyelesaikan masalah ‘ketiadaan penghubung’ ekoran tiada jalan yang menghubungkan kedua-dua kawasan itu sebelum ini, walaupun terletak bersebelahan antara satu sama lain.

Jalan baharu sepanjang 700 meter itu juga akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang sebelum ini dihadapi pengguna yang mahu memasuki atau keluar dari kedua-dua kawasan terbabit.

“Sebelum ini jalan keluar dari atau masuk ke Desa Petaling adalah melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, manakala jalan keluar dari atau masuk ke Kampung Malaysia Tambahan pula melalui Lebuhraya Besraya,” katanya pada sidang media.

Dalam pada itu beliau berkata, kementeriannya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menyelesaikan beberapa lagi ketiadaan penghubung di sekitar ibu negara yang akan mengurangkan kesesakan jalan raya atau memendekkan perjalanan.

 

Katanya antara yang telah dikenal pasti termasuk di Kampung Pandan dengan Ampang dan Air Jernih dengan Setapak.

“Namun ada kawasan-kawasan yang kita tidak boleh laksanakan terutama di kawasan yang bersempadan dengan negeri Selangor, (kerana kerajaan negeri) Selangor selalu menolak apa yang kita mahu lakukan,” katanya. – WD MY