JOHOR BAHRU, 25 FEB – TUTUP….. Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya ini ditutup secara berperingkat sempena Pesta Perayaan Chingay, bermula semalam hingga Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata laluan ditutup bagi acara pembersihan jalan bermula semalam membabitkan Jalan Trus, Tun Abdul Razak, Ayer Molek, Yahya Awal, Dato Onn, Ibrahim, Wong Ah Fook, Jalan Gereja hingga tamat di Kuil Kuno, dekat sini.

“Dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari tadi, perarakan dewa dari Kuil Kuno ke Kuil Xing Gong menyebabkan beberapa jalan ditutup, antaranya Jalan Trus, Ngee Heng, Tun Razak dan Jalan Ulu Air Molek.

“Esok (25 Februari), jalan utama akan ditutup mengikut dua peringkat, iaitu peringkat pertama mulai jam 3 petang membabitkan Jalan Skudai – Pantai Lido (hadapan Dataran Bandaraya) dan Jalan Ayer Molek.

“Peringkat kedua pula, jalan utama akan ditutup mulai jam 4 petang membabitkan persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Chat/Jalan Abu Bakar, Jalan Ayer Molek/Gertak Merah, persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Onn/Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Meldrum, Siu Nam, Siu Chin, pusingan U Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Station, selain Jalan Gereja, Abu Bakar dan Susur Lingkaran Dalam/Jalan Abu Bakar,” katanya dalam kenyataan.

Shahurinain berkata, jalan alternatif akan ditutup esok membabitkan Singapura – Jalan Skudai – Lingkaran Dalam – Jalan Skudai (Pantai Lido) dan Singapura – Kota Tinggi – Kuala Lumpur – Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

Katanya, antara lain jalan menghala ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), iaitu dari Skudai – Jalan Skudai – Jalan Pantai Lido, selain turut membabitkan laluan dari Jalan Datin Halimah, iaitu Jalan Kolam Air – Jalan Thompson – Jalan Abu Bakar dan jalan dari Kota Tinggi, iaitu EDL – Susur Jalan Abu Bakar – Jalan Lingkaran Dalam.

“Pada 26 Februari ini, jalan utama akan ditutup mulai jam 11 pagi hingga 1 tengah hari membabitkan Jalan Tun Razak (laluan dari bandar raya ke Skudai), Jalan Ngee Heng (depan Wisma Maria) dan Jalan Trus (perarakan balik lima tokong dari Kuil Xing Gong ke Kuil Kuno secara melawan arus).

“Kuasa menutup atau mengubah laluan atau menyekat jalan adalah bawah bidang kuasa Ketua Polis Daerah mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967,” katanya. – WD MY