Jalin Kerjasama Dengan CNTA Tarik Lebih Ramai Pelancong Dari China -TPM Ahmad Zahid

0
65

HONG KONG, 14 Nov – SASAR…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia menyasar menarik lebih ramai pelancong dari China termasuk Hong Kong melalui jalinan kerjasama antara Tourism Malaysia dan CNTA (Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China) dan juga sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Bagi tahun ini Malaysia menyasar menarik kira-kira 3 juta pelancong dari China namun sasaran itu dijangka tidak dapat dicapai.

”Jumlah ini pada hemat saya belum boleh dicapai kerana setakat 31 Oktober yang lalu kita memperoleh kira-kira 1.8 Juta pelancong daripada China, ertinya kita kekurangan lebih kurang 1.2 juta, dan untuk mencapai sasaran itu dalam tempoh dua bulan merupakan satu yang mustahil,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahmad Zahid berada di sini bagi menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Sedunia (WCES) ke-9, acara utama antarabangsa yang bermatlamat meningkatkan perhubungan dan rangkaian perniagaan antara China dan ASEAN.

Menurutnya, sasaran itu tidak dapat dicapai mungkin akibat daripada promosi yang agak menurun kerana peruntukan untuk promosi telah dikurangkan.

Selain kerjasama bersama CNTA, promosi Tahun Melawat Malaysia 2020, yang akan bermula tahun depan dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong dari China, katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata faktor yang paling penting dalam usaha ini ialah penyambungan pengangkutan udara yang mana perlu menumpukan bukan sahaja kepada bandar-bandar utama tetapi juga ke bandar-bandar tahap kedua sama ada menerusi penerbangan berjadual, berkala atau secara sewaan.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa LCC (syarikat penerbangan tambang rendah) untuk kita mengeksplorasikan destinasi-destinasi mengikut jumlah yang berpotensi akan datang ke Malaysia.

“(Ini) kerana CNTA telah biasanya memberi peluang untuk pelancong China ke destinasi yang dicadangkan oleh mereka. Mungkin dalam ini CNTA boleh membantu Malaysia untuk terus mencadangkan destinasi pelancongan itu ke beberapa destinasi ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata beliau telah melihat beberapa destinasi baharu mengikut bidang yang diminati pelancong-pelancong China.

“Mereka sangat suka dengan hutan hujan atau pun rainforest dan mereka sangat suka dengan pantai.

“Sudah tentu elemen-elemen ini penting untuk mereka terokai dan saya fikir potensinya sangat besar,” katanya.

Menyentuh tentang sektor Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE), beliau berkata ia memerlukan penjadualan dan promosi lebih awal, iaitu tiga atau empat tahun sebelum pengaturan sebarang acara diadakan bagi menarik golongan sasaran. – WD MY