SHAH ALAM, 14 Feb – Sekali Lagi……. Datuk Seri Jamal Yunos, sekali lagi ‘menggemparkan’ Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas tiba dengan beberapa van jenazah.

Semua van berkenaan turut membawa keranda dengan sebuah daripadanya dipandu sendiri oleh Jamal yang memakai baju T putih manakala kepala dililit tuala.

Keranda berkenaan turut diusung di hadapan pintu pagar memasuki perkarangan bangunan yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri (SUK) itu.

Sebelum ini, Jamal pernah mencetuskan kontroversi selepas hadir ke bangunan SUK dengan memakai tuala dan membawa set katil sebagai tanda bantahan terhadap isu air dan pusat judi.

Bagaimanapun, kira-kira 15 minit selepas kehadiran Jamal, sekumpulan lelaki dilihat menerjah dan hampir mencetuskan pergaduhan.

Pertengkaran antara Jamal dengan kumpulan berkenaan dileraikan oleh anggota polis yang berkawal sebelum meminta mereka bersurai. – WD MY