KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ditahan……. Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, ditahan di sebuah hotel, di sini, sebentar tadi. Jamal, ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor, sekitar jam 1.30 pagi, ketika berada dalam bilik hotel di Jalan Tun Razak, di sini.
Pada masa ini, Jamal yang dikawal ketat pihak polis dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam.
Dengan penangkapan Jamal, kini seramai 14 individu yang dipercayai bakal terbabit dengan perhimpunan di sekitar ibu negara, sudah ditahan sejak jam 5 petang semalam.

Tangkapan membabitkan pemimpin kumpulan Bersih 5 dan Gerakan Merah.

Sementara itu, seramai 12 individu yang dipercayai terbabit dengan penganjuran Bersih 5 dan Gerakan Baju Merah ditangkap dalam beberapa siri tangkapan di Lembah Klang.

Tangkapan dilakukan oleh pasukan polis dari kontinjen Kuala Lumpur, Selangor dan Bukit Aman bermula kira-kira jam 5 petang tadi.

Mereka yang ditahan adalah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan aktivis gabungan itu, Mandeep Singh Karpal Singh dalam serbuan di Petaling Jaya.

Tangkapan lain membabitkan, aktivis Bersih, S Arutchelvan; aktivis DAP, Ronnie Liu; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; aktivis mahasiswa, Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Anis Syafiqah Md Yusof.

Turut ditahan ialah Lee Khai Meng dan Wong Chee Wai, kedua-duanya dipercayai aktivis Bersih.

Dalam pada itu, beberapa individu lain yang dipercayai terbabit Gerakan Baju Merah turut ditahan iaitu Hairol Nizam Md Nor, Ariffin Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Ipin Keramat dan Razali Zakaria. – WD MY