KUALA LUMPUR, 4 April – Buka……. Pembukaan jambatan baharu yang menghubungkan Bulatan Mergastua ke Jalan 1/40 Kepong dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Pintasan Segambut dan Pusat Industri Kepong.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
jambatan baharu sepanjang 200 meter itu yang mempunyai empat lorong bermula
pembinaannya pada Jun 2013 dan disiapkan sepenuhnya pada Jun 2016.
“Ia merupakan fasa sambungan kepada projek Jalan Pintasan Segambut yang
dibina bagi melengkapkan rangkaian jalan di kawasan Kepong, Segambut dan Jinjang
Selatan untuk melancarkan trafik.
“Selain menaik taraf kemudahan infrastruktur di sekitar kawasan Kepong, ia
juga dapat memendekkan tempoh perjalanan bagi penduduk setempat sama ada dari
Taman Cuepacs, Taman Petaling ke Pusat Industri Kepong serta Jalan Pintasan
Segambut,” katanya ketika merasmikan jambatan itu di sini hari ini.
Menurutnya jambatan itu lewat dibuka kepada pengguna walaupun telah siap
disebabkan masyarakat setempat membuat permohonan untuk perubahan aliran lalu
lintas di kawasan itu.
Katanya projek bernilai kira-kira RM23 juta itu dibiayai sepenuhnya
oleh kerajaan pusat.
“Komitmen ini adalah sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Kuala
Lumpur antara bandar raya terbaik dari segi jaringan lalu lintas,” katanya. – WD MY