PUTRAJAYA, Nov 15 – Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil
Khir Baharom membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di
sini hari ini berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang
ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

Beliau yang tiba di IPD Putrajaya pada pukul 2.30 petang bersama peguam,
Adnan Seman @Abdullah dan beberapa pegawainya.

Pada hari yang sama, Jamil Khir menjelaskan bahawa lawatannya ke Amerika
Syarikat pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang
dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan
Malaysia di Amerika, termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena
Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika serta Kanada.

Ketika ditemui media selepas membuat laporan polis, Jamil Khir berkata
dakwaan Akmal mengenai program di Amerika Syarikat bersifat bersuka ria
menggunakan dana anak yatim merupakan satu fitnah jahat dan cubaan untuk
menjatuhkan kredibiliti dan integriti selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah
NOW (Akmal) yang melakukan fitnah jahat dan tuduhan keji kepada saya.

“Saya sentiasa bersedia dan terbuka untuk disiasat sekiranya benar wujudnya
salah laku,” katanya.

Ditanya sekiranya Akmal enggan meminta maaf, Jamil Khir berkata “kita jumpa
di mahkamah”.

Dalam laporan polis itu, Jamil Khir berkata Akmal secara sengaja memfitnah
dan dengan niat jahat mencadangkan kepada umum bahawa beliau seorang menteri
yang korup, mencuri dan menyalahgunakan duit anak yatim dan tidak amanah.

“Ini satu serangan terhadap saya di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai
menteri,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya (Adnan Sharida & Associates) akan
mengeluarkan satu lagi surat tuntutan esok (Isnin) bagi mengarahkan Akmal
menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara lisan dan bertulis.

“Kita akan beri Akmal dua hari (menarik balik kenyataan, memohon maaf) Jika
gagal, kita akan memfailkan saman di mahkamah…paling lewat pada Jumaat,”
katanya. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY