PUTRAJAYA, 23 Jun -Pertahankan Negara…. Kedaulatan dan kebebasan negara tidak wajar digadaikan kepada media luar untuk mencaturkan politik negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, sebagai pemimpin, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama dalam satu barisan bagi mempertahankan negara.

“Serangan isu dari luar sengaja dirancang untuk menjejaskan imej Malaysia jadi, kita harus tenang dan bijaksana menilai tohmah dan fitnah nista ini.

“Justeru, sempena bulan baik ini, kita harus berminda positif dan menangkis segala isu dibangkitkan oleh media asing,” katanya dalam kenyataan sempena ucapan hari raya Aidilfitri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, media baharu seharusnya dijadikan sebagai medium perpaduan dan bukannya platform membangkitkan isu sensitif yang boleh membakar rasa kebencian antara kaum.

“Secara asasnya, kita berjaya membenih dan menyuburkan semangat bangsa Malaysia namun, semestinya kekuatan dan keunikan ini dicemburui oleh orang asing.

“Inilah cabaran kita dan mereka sedaya upaya mengadu domba untuk meretakkan jalinan perpaduan antara kaum dan pucuk pimpinan negara,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah masyarakat majmuk yang hidup aman harmoni, perayaan Aidilfitri diraikan dengan rasa muhibah.

“Menyantuni keluarga, sanak saudara dan sahabat handai tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan warna kulit. Kunjungilah majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi mengeratkan tali persaudaraan antara kita semua sebagai masyarakat pluralistik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan terus komited membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup, isu percukaian dan masalah sosial seperti buli yang semakin membimbangkan.

“Kepercayaan rakyat kepada kerajaan selama ini akan direalisasikan dengan berkesan,” katanya. – WD MY