KUALA LUMPUR, DISEMBER 18: Nurul Izzah Anwar meminta Pengarah Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Rais Hussin agar tidak membuat kenyataan bagi pihaknya berhubung peletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR.

“Tolong jangan membuat kenyataan bagi pihak saya,” katanya.

Rais sebelum itu mengulas tindakan Nurul Izzah di Twitter dengan berkata bahawa anggota parlimen Permatang Pauh itu perlu menarik semula peletakan jawatan untuk memastikan agenda reformasi dilaksanakan.

“Nurul Izzah juga manusia biasa. Meskipun kuat, dia juga ada naik turunnya. Dia sangat komited dengan agenda reformasi. Tapi untuk memastikannya, dia perlu tarik semula peletakan jawatannya.

“Saya percaya dia akan tarik semula, dan kembali dengan lebih kuat,” kata Rais

Mengulas kenyataan susulan Nurul Izzah, Rais berkata, kenyataannya itu hanyalah pendapat peribadi dan bukannya bagi pihak orang lain.

“InsyaAllah, saya harap Nurul Izzah akan kembali dengan lebih kuat dan menggalas agenda reformasi yang beliau perjuangkan,” kata Rais.

Sementara itu, Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan keputusan Nurul Izzah meletakkan jawatan naib presiden PKR sebagai menyedihkan.

“Keputusan ini mengejutkan dan tentulah menyedihkan.

“Sebagai sahabat lama dan rakan seperjuangan dalam parti, saya lihat harga besar yang beliau bayar dalam kehidupan kerana perjuangan.

“Beliau membuktikan kebolehan Naib Presiden undi tertinggi tiga pemilihan berturut-turut, dan ahli parlimen tiga penggal. Beliau layak jadi menteri kabinet,” katanya.

Dalam kenyataan media hari ini, selain jawatan naib presiden PKR, Nurul Izzah juga mengumumkan melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang serta tidak lagi akan berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas sebarang kapasiti.

Untuk rekod Nurul Izzah sebelum ini dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).- MY WD