KUALA LUMPUR, 24 Jan – SPEKULASI…. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kebakaran empat kenderaan milik seorang pegawai kastam di Presint 11, Putrajaya dekat sini, semalam.

Walaupun siasatan mendapati kejadian itu mempunyai unsur khianat, namun motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan.

“Kita meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat hendaklah menyalurkannya kepada pihak polis.

Menurut Mazlan, siasatan di lokasi kejadian turut menemukan beberapa bukti yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat iaitu kepala tukul yang ditemui di atas bonet belakang kereta jenis Mercedes Benz dan pemetik api di lantai.

Katanya, rumah mangsa adalah kuarters kerajaan di atas nama mangsa dan seramai enam orang mendiami rumah itu terdiri daripada mangsa bersama isteri, anak perempuannya serta menantu lelaki dan dua orang cucu.

“Pihak polis telah menemubual serta merakam percakapan jiran mangsa dan berdasarkan keterangannya, dia terdengar bunyi letupan kecil di hadapan rumah mangsa kira-kira jam 3.30 pagi.

“Dia kemudian keluar dari rumah dan mendapati kereta bonet belakang Mercedes Bez sedang terbakar dan api merebak dengan cepat menyebabkan keseluruhan hadapan rumah terbakar termasuk empat buah kereta terbabit,” kata Mazlan.

Katanya, jiran mangsa kemudian menjerit memanggil mangsa dan keluarga terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri.

Dalam kejadian itu, dua kereta yang diletakkan di perkarangan rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Nor Azman Mat Jini, musnah manakala dua lagi separuh musnah.

Empat kenderaan yang rosak dalam kebakaran itu adalah kereta jenis Mercedes Benz milik isteri mangsa, kereta PERODUA Myvi milik anak mangsa, PROTON Saga BLM milik menantu mangsa dan Honda CRV milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api. – WD MY