KUALA LUMPUR, 16 JUN 0 GELOJOH….”Jangan gelojoh dengan peralihan kuasa”.

Itu teguran dikeluarkan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan susulan gesaan agar tempoh peralihan kuasa ditetapkan bagi menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada gesaan kumpulan Otai Reformis semalam.

“Dalam disiplin berorganisasi, kita orang Islam diajar jangan menjadi golongan “musta’jilun” atau golongan gelojoh. Maka jauhilah golongan musta’jilun sebegini.

“Sebaliknya dalam mengusahakan reformasi, sikap yang lebih baik ialah “tadarruj”, atau melakukan perubahan secara berperingkat dan tersusun,” katanya yang turut menyiarkan tangkap layar berita mengenai gesaan kumpulan itu di Facebooknya.

Semalam, kumpulan Otai Reformis berkata perdana menteri perlu menetapkan satu garis masa untuk menyerahkan jawatan nombor satu dalam kerajaan kepada Anwar selepas prestasi pentadbiran Putrajaya ketika ini dilihat merudum.

“Dalam setahun ini, nak terus terang, adakah masyarakat Malaysia puas hati tentang pentadbiran kerajaan di Putrajaya?

“Tahap keyakinan, pelaburan, ekonomi turun. Jadi berapa lama kita akan menunggu, sekurang-kurangnya kena ada garis masa (beri jawatan pada Anwar). Jadi pelabur atau masyarakat akan tahu jika hendak membuat pelaburan dan sebagainya,” kata pengerusinya Dr Idris Ahmad.

Bagaimanapun Wan Saiful berkata tidak ada sesiapa menafikan peralihan kuasa akan berlaku, namun apa yang perlu dilakukan kini adalah memastikan asas negara dibina semula dengan kukuh agar peralihan kuasa berlaku dengan baik.

“Jika proses membina semula negara itu dirosakkan oleh mereka yang tidak sabar ini dan jika seterusnya ini menyebabkan proses transisi tidak lancar atau terus gagal, maka golongan yang gelojoh inilah yang wajar dipersalahkan,” tegasnya. – WD MY