KUALA LUMPUR,JUN 22:GHAIRAH… Calon Presiden UMNO yang berhasrat mengadakan debat diingatkan supaya tidak terlalu ghairah sehingga melanggar peraturan, etika dan tradisi parti.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata debat secara umumnya adalah aktiviti yang baik dan membolehkan peserta berkongsi pendapat atas sesuatu isu.

Namun, katanya dalam konteks pemilihan Presiden UMNO, ia harus difikirkan secara lebih berhemah dan penuh kebijaksanaan.

“UMNO pada masa ini adalah sebuah parti pembangkang. Setakat ingatan saya tidak pernah ada sebuah pun parti yang pernah mengadakan ‘public debate’ antara calon presiden parti mereka.

“Mungkin oleh kerana UMNO atau calon Presiden UMNO ada tarikan istimewa tersendiri, maka debat ini di harap menjadi realiti.

“Namun suka saya menasihatkan mereka yang terbabit supaya tidak terlalu ghairah sehingga terlupa gelanggang mana mereka harus bersilat dan irama paluan siapa yg harus mereka menari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Annuar bagaimanapun berkata, pemilihan jawatan dalam parti adalah urusan ‘dalaman keluarga’ yang tertakluk kepada peraturan, etika dan tradisi tertentu dan tidak seharusnya terserah kepada orang luar termasuk musuh.

“Kita seharusnya lebih terbuka, tetapi keterbukaan itu mesti dalam kerangka yang tidak memudaratkan matlamat dan strategi perjuangan.

“Saya khuatir dengan trend populis dan percubaan mengikut rentak luaran secara berlebihan boleh membawa banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya.

Beliau berkata, calon Presiden UMNO memadai berwacana melalui pelbagai media dan berbicara dengan pelbagai cara berbanding mengadakan debat.

“Kita perlu menguruskan urusan dalaman kita secara tertib dan penuh kebijaksanaan. Lebih penting ialah jangan sehingga percaturan dalaman kita ditentukan oleh musuh kita, atau kita tertikam kawan dengan pisau yang diberikan pihak yang memusuhi kita.

“Jika mahu berdebat terutama bagi perkara menyentuh kepentingan rakyat dan negara, saya mencadangkan satu perdebatan antara ketua kerajaan dan ketua pembangkang apabila gelap 100 pentadbiran Pakatan Harapan kelak,” katanya.-MY WD