KUALA LUMPUR, NOVEMBER 29: ICERD….PAS percaya himpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) nanti dapat meredakan ketegangan kaum di Malaysia.

Keyakinan ini ternyata berbeza dengan kebimbangan setengah pihak, terutama selepas rusuhan tercetus di Subang Jaya, awal pagi Selasa.

“Himpunan ini kita harapkan meredakan isu (kaum), bukan menyemarakkan. Himpunan itu bukan himpunan kaum, ia himpunan polisi negara.

“Kita jemput semua kaum. Saya difahamkan ada NGO bukan Melayu akan turut sertai, tetapi kena tanya penganjur berapa ramai,” kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man kepada pemberita di parlimen SEMALAM

Beliau menegaskan himpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember nanti bukanlah berunsurkan perkauman dan semua rakyat yang cintakan kedamaian daripada semua kaum diundang.

Beliau turut meminta agar tidak ada pihak yang mengaitkan himpunan yang berbaki sepuluh hari lagi itu dengan rusuhan di kuil baru-baru ini.

“Ia benda berbeza, tiada kena mengena dengan Icerd.

“Kita kena hormati hak beragama. Dalam Islam jika di dalam perang, kita tak boleh bunuh paderi dan sami, tak boleh musnahkan rumah ibadat.

“Selain itu, saya fikir perlu ada mekanisme supaya rumah ibadat yang lama-lama mesti dipelihara. Kalau pun nak pindah pun mestilah diurus dengan harmoni,” katanya lagi.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa turut menyuarakan pendapat senada agar himpunan Icerd tidak dikaitkan dengan isu rusuhan kuil di Seafield.

“Jangan porak perandakan penyatuan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, bukan pihak polis saja.

“Pihak penganjur jangan jadikan isu itu sebagai perkauman. Ia mesti menjadi himpunan aman yang selari dengan Akta Perhimpunan Aman.

“Penganjur harus bertanggungjawab, saya rasa tiada masalah, himpunan ini akan berlangsung secara aman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengaku permohonan permit masih belum mendapat kelulusan.

Kedua-dua Tuan Ibrahim dan Annuar Musa turut mengiyakan satu perjumpaan telah diadakan antara pihak polis, penganjur Gerakan Ummah, wakil PAS dan Umno bagi berunding lanjut mengenai penganjuran himpunan itu.-MY WD