ALOR SETAR, NOVEMBER 14: KRITIK…Lebih 100 imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid di daerah Kuala Muda digertak dan diberi amaran oleh seorang pegawai khas kepada Exco Agama, supaya tidak mengkritik kerajaan dan membangkitkan isu masyarakat.

Pendedahan itu dibuat pada persidangan Dun Kedah oleh dua Adun Pas, iaitu Adun Tanjung Dawai, Hanif Ghazali dan Adun Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim.

Menurutnya, amaran itu dibuat secara terbuka dalam satu majlis taklimat bersama pegawai khas terbabit pada 24 Oktober lalu.

Hanif berkata, AJK masjid turut diingatkan agar tidak membawa khatib luar yang tidak disenangi individu tersebut.

“Program yang diadakan di Sungai Petani itu dihadiri pegawai khas berkenaan, yang memberi  amaran kepada imam dan setiausaha masjid agar jangan kritik kerajaan atau sentuh perkara berkaitan isu melibatkan masyarakat termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya, ketika ditemui di luar Dewan.

Menurutnya, amaran itu dipercayai berpunca daripada khutbah khatib di sebuah masjid yang mengingatkan kemurkaan Allah SWT akibat aktiviti tidak patuh syariat, seperti LGBT bagi mengelak negara ditimpa bencana seperti di Sulawesi.

“Saya bimbang jika dibiarkan, ia akan berulang di masjid lain pula, seterusnya menimbulkan keresahan orang ramai,” katanya.

Manakala Ahmad Fadzli berkata, perbuatan individu berkenaan adalah keterlaluan dan tidak beradab kerana hadirin yang hadir merupakan imam dan AJK masjid yang berkelayakan dan bertauliah.

“Insiden ini berlaku di kawasan saya, yang hadir ada yang sudah lama berkhidmat dan diberikan  anugerah oleh pejabat agama daerah. Beliau gertak imam selain dakwa senarai khatib yang dijemput tak diiktiraf, sedangkan mereka ada kelayakan untuk berceramah,” katanya.

Menurutnya, AJK masjid turut diberi peringatan bahawa aktiviti masjid akan dipantau terutama melibatkan jemputan penceramah dan senarai khatib.

“Ia akan wujudkan ketakutan kalangan imam dan akan sekat potensi pendakwah yang ada tauliah.

Tindakan beliau sangat tidak bertanggung jawab dan boleh wujudkan kekeruhan hubungan dalam masyarakat,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, terdapat hadirin yang meninggalkan majlis kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan individu berkenaan, yang sebelum ini turut menggunakan masjid untuk menghentam kerajaan terdahulu.

“Sebahagian besar imam dan AJK masjid bukan sebarangan orang, mereka juga terdiri daripada golongan profesional. Sebolehnya kami mahu perkara seperti ini diberi perhatian dan tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu pihak berkuasa agama mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu berkenaan.

“Saya juga mohon pejabat agama pantau penyebaran Bible secara terbuka kepada orang ramai, yang baru-baru ini berlaku di daerah Pantai Merdeka. Perbuatan itu tidak munasabah kerana edar di kawasan majoriti orang Islam, boleh undang ketidakharmonian kaum,” katanya.

Ahmad Fadzli berharap, kedua-dua isu terbabit ditangani sebaiknya dan dikenakan tindakan tegas.

Terdahulu, perkara itu didedahkan Hanif dan Ahmad Fadzli ketika membahaskan ucapan Belanjawan Kedah, pada sesi pagi.