HULU SELANGOR,  20 Nov – Jangan Labelkan…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak mahu melihat rakyat Malaysia
dilabelkan dengan nama-nama negatif mengikut kaum.

Sebagai contoh, beliau berkata, sebelum ini kongsi gelap sering dilabelkan
kepada kaum India, kaum Melayu sinonim dengan dadah dan judi dilabelkan kepada
kaum Cina.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu bersatu dan menolak tanggapan negatif
terhadap sesuatu kaum untuk terus mencapai kemajuan.

Timbalan perdana menteri berkata tidak seperti di negara lain, Malaysia di
bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat menghormati
dan menghargai kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyatnya.

“Walaupun terdapat perbezaan, kita kena cari titik persamaan dan perbezaan
itu disatukan dengan kita fahami budaya, agama dan keturunan kaum lain,”
katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia
Deepavali 2016 yang dihadiri kira-kira 20,000 orang di Batang Kali di sini,
malam tadi.

Majlis tersebut adalah antara enam acara sambutan perayaan terbesar
peringkat kebangsaan yang dianjur oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Majlis itu diisi dengan pelbagai acara kebudayaan yang menarik seperti
tarian dan nyanyian oleh artis-artis tempatan.

Pengunjung turut disediakan dengan jamuan rakyat yang menyajikan pelbagai
juadah dan makanan tradisi masyarakat India serta makanan tempatan. – WD MY