PUTRAJAYA, 23 Mei – Jangan Naik…… Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tegas mengulas permintaan MSM Malaysia Holdings Bhd untuk menaikkan harga runcit gula.

Jawapannya berbunyi, “Saya tidak akan naikkan harga gula.”

Hamzah mengingatkan pengilang supaya tidak keterlaluan mengaut keuntungan dengan menegaskan harga runcit gula RM2.95 sekilogram ketika ini adalah adil dan munasabah untuk semua pihak, baik pengguna mahu pun pengilang.

“Kenapa saya perlu naikkan harga gula? Semua orang tahu harga gula mentah dunia menurun ketika ini.

“Masa kita naikkan dulu memang betul harga gula mentah dunia meningkat sehingga 22 sen satu paun.

“Sekarang harganya turun kepada 17 sen satu paun, jadi kenapa nak naikkan harga? Apa yang kita naikkan 11 sen (Mac lalu) pun saya rasa dah mencukupi. Cukup-cukuplah tu, jangan lebih-lebih,” katanya.

 

Beliau ditemui pada sidang media selepas melancarkan kempen #janganlebihlebih di sini, hari ini.

Katanya, pihak pengilang sudah menemuinya dan mengusulkan perkara itu.

“Saya kata tidak. Saya tidak akan menaikkan harga melainkan ia benar-benar memberi kesan kepada kilang. Ketika ini, kekalkan harga,” katanya.

Baru-baru ini, MSM Malaysia Holdings Bhd berharap kerajaan menaikkan harga runcit gula sebanyak 29 sen sekilogram bagi mengimbangi kos pengeluaran.

Sementara itu, kempen #janganlebihlebih yang dilancarkan sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri bertujuan memupuk kesedaran supaya pengguna beringat ketika berbelanja dan tidak melebihi keperluan. – WD MY