KUALA LUMPUR,JUN 12:JANGAN….Gerakan untuk mendesak Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah masuk ‘gelanggang’ merebut jawatan Presiden UMNO bukan pendirian Pemuda UMNO Selangor.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zakaria, ketika menyangkal dakwaan itu sebaliknya mahu ‘pentas’ pertandingan Majlis Tertinggi, termasuk Presiden dan Timbalannya dibuka seluasnya, tanpa sebarang sekatan untuk kembali menyuburkan parti.

“Jangan buat kenyataan bagi pihak lain. Ini (desak Tengku Razaleigh tanding jawatan Presiden) bukan pendirian atau gerakan dalaman didalangi Pemuda UMNO Selangor.

“Usah kita ikut acuan orang kerana soalnya sekarang adalah proses demokrasi dalam UMNO perlu disuburkan dengan membuka peluang kepada sesiapa yang mahu berkhidmat kepada parti tanpa berdepan sebarang sekatan.

“Syarat yang menyekat contohnya perlu menjadi ahli sekurang-kurangnya tiga tahun juga patut ditarik balik kerana ia dilihat merencatkan hasrat individu untuk berkhidmat kepada parti tetapi masih muda umurnya dalam UMNO.

“Kita perlu insaf bahawa parti dalam keadaan sangat getir, justeru fokus utama adalah membangkitkan semula UMNO dengan mengutamakan penyatuan dalaman, bukan gerakan untuk memihak satu pihak yang lain atau mewakili suara calon tertentu bagi merebut jawatan peringkat tertinggi,” katanya.

Menerusi nada keras dan berbaur peringatan, Zainuri mengingatkan pemimpin muda, terutama dalam EXCO Pemuda dan Puteri supaya tidak menjadi pencatur sehingga memecah belahkan parti.

Katanya, UMNO tidak rela melihat barisan muda terlalu bercita-cita besar sedangkan peringkat lapisan kepemimpinan perlu memandang lebih mendalam mengenai pendekatan melahirkan pelapis ‘nakhoda’ muda yang bersedia mendepani cabaran 30 tahun akan datang.

“Belajarlah daripada pemimpin berpengalaman sebagai panduan dan iktibar dalam mempersiapkan diri masing-masing untuk membantu UMNO yang kini dalam keadaan perit serta penuh mencabar.

“Ayuh! bangunkan dan bangkitlah UMNO. Usahlah terlalu sibuk membuaikan calon mana yang perlu diketengahkan, waima jika Tengku Razaleigh sudah nyatakan beliau enggan bertanding sebaliknya mahu melihat parti bersatu.

“Jangan desak mana-mana calon, termasuk ‘Ku Li’ (Tengku Razaleigh) sehingga boleh mengakibatkan perbalahan dan perpecahan dan membebankan parti kerana ketika ini kita mempunyai nakhoda yang diberikan amanah untuk memikul tugas Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Zainuri berkata, nakhoda baharu ‘dahagakan’ sokongan kuat akar umbi seiring keadaan UMNO yang rebah tetapi tidak tersungkur kerana akar kayu dan batangnya masih kuat mencengkam bagi memastikan parti masih utuh.

Keadaan itu, katanya, dibuktikan menerusi pegangan 54 kerusi milik ahli UMNO daripada 78 kerusi Barisan Nasional (BN) yang memperlihatkan ia parti tunggal terbanyak dalam Dewan Rakyat.

“Bantulah Datuk Seri Zahid dalam memulihkan usaha parti ke arah kestabilan dan kemantapan barisan yang perlu dicapai kerana UMNO perlukan gabungan pemimpin baru serta lama sebagai usaha pengukuhan.

“Janganlah (pemimpin) terlalu lama, apatah lagi yang lama tidak aktif dalam parti,” katanya.-MY WD