IPOH, MAC 15:Mereka pembangkang selalu mengatakan pentadbiran Barisan Nasional (BN) disifatkan tidak sempurna, namun sentiasa belajar daripada kesilapan bagi mengukir lebih banyak episod kejayaan dan kemajuan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, walaupun ‘diserang’ dengan pelbagai tohmahan, BN akan tetap mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan perlembagaan negara sebagai asas kekuatan untuk mentadbir negara.

“Ada pembangkang kata saya zalim. Saya ingin tanya, siapa yang terbabit dalam Ops Lalang dan penjarakan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri? Adakah menjadi logik jika negara dipimpin orang yang berumur 93 tahun? Tentu kita tidak mahu masa depan negara diperjudikan.

Saya tidak kata kerajaan sekarang tiada kelemahan tetapi kita (kerajaan pusat dan negeri) akan belajar daripada kelemahan dan kesilapan supaya negara terus berjaya. Orang putih kata ingredient (ramuan), kita ada semua,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu berkata demikian sewaktu berucap pada edisi keempat Program Bajet 2018 Bersama Rakyat-Penjawat Awam di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan dekat sini bagi berkongsi kisah kejayaan negara dan pelbagai dasar kerajaan yang sudah atau akan dilaksanakan.

Najib berkata rakyat harus lebih bijak menilai masa depan mereka termasuk melihat sendiri manifesto pembangkang yang akan menambah hutang negara seperti pembatalan konsesi tol serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Bila kita mansuhkan segala-galanya, hutang akan bertambah, negara akan hilang (pendapatan) dan segala-galanya akan merudum. Di akhir nanti, rakyat akan menderita.

Sebab itulah ia dikenali sebagai janji madu beracun, lihatlah di Selangor, apa guna ada air percuma tetapi air tiada, inilah akibat dasar populis menangkan undi tetapi tidak menanggung akibat,” katanya – MY WD