BANGKOK, 7 Feb – Tangani….. Pihak Kerajaan Thailand berusaha menenangkan kegelisahan rakyatnya berhubung penurunan mendadak perbendaharaan dengan menyatakan keadaan fiskal negara itu masih kekal kukuh.

Rizab perbendaharaan negara itu susut daripada 495.75 bilion baht (RM1 > 7.8 baht) semasa kerajaan tentera sekarang mengambil alih kuasa pada 2014, kepada 74.91 bilion baht pada 27 Januari 2017.

MENTERI Kewangan Thailand, Apisak Tantivorawong

Menteri Kewangannya, Apisak Tantivorawong, menjelaskan paras rizab yang rendah itu disebabkan pengurusan efektif yang diguna pakai kementeriannya untuk meminimumkan kos faedah bagi pinjaman.

“Kami menetapkan paras optimum rizab perbendaharaan pada 50-100 bilion baht. Maka dengan mempunyai 300-500 bilion baht adalah terlalu banyak.

“Kita mengekalkan rizab rendah, kita dapat berjimat hampir dua bilion baht dalam kos faedah, satu jumlah yang boleh dibelanjakan dengan lebih baik lagi,” beliau dipetik sebagai berkata kepada media hari ini.

Kerajaan, kata Apisak, bukan kehabisan wang kerana paras semasa rizab perbendaharaan itu adalah mencukupi. – WD MY