KAJANG,OGOS 24:KERJASAMA… MCA akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang merestui mereka bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Sehubungan itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mempertikai dan memperlekehkan kerjasama parti itu dengan PAS.

Katanya, PAS merestui MCA bertanding di Balakong begitu juga UMNO dan GERAKAN.

“Justeru, MCA akan terus bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang bersetuju dan merestui kita.

“Kalau orang sokong kita, pasti dialu-alukan (sokongan) mereka. Perjuangan kita jelas, tidak sama macam DAP yang selalu lupa sejarah, kutuk kerjasama kita dengan PAS sedangkan mereka pernah bekerjasama membentuk kerajaan negeri di Selangor,” katanya ketika berceramah membantu kempen calon MCA, Tan Chee Teong di Taman Megah di sini, malam tadi.

Ka Siong turut menegur pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertindak seperti pembangkang dalam ceramah PRK.

Katanya, beliau melihat kebanyakan pemimpin PH mengorek kes membabitkan BN bukannya menumpukan kepada usaha menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sebagai kerajaan sepatutnya tidak perlu lagi buat kerja mengorek kesilapan orang… buatlah kerja,” katanya.

Beliau juga menegaskan MCA sebuah parti yang mengakui kesilapan dan menerima kekalahan pada PRU-14 dan bersedia membuat perubahan dan transformasi.

“Kita mahu menjadi pembangkang yang baik supaya menjadi kumpulan yang boleh semak dan imbang kerajaan.

“Semalam pemimpin DAP, Lim Kit Siang minta MCA tidak perlu jadi kumpulan semak dan imbang sedangkan beberapa minggu lalu dia yang kata kerajaan perlukan teguran dan pemantauan daripada penyokong kerajaan, pembangkang, media dan masyarakat umum.

“Inilah sikap pembangkang selalu lupa, buta sejarah dan cakap tidak serupa bikin, ” katanya.-MY WD