KUALA KANGSAR, 15 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalah tafsir kononnya kerajaan mahu menghapuskan sistem pendidikan tiga aliran di negara ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau bukan menyarankan penghapusan sekolah pelbagai aliran, malah Dasar Pelajaran Kebangsaan menyebut pengajaran bahasa ibunda perlu digalakkan di sekolah rendah.

“Bagaimanapun, usaha mesti dilakukan bagi ┬ákurikulum pendidikan supaya perpaduan dan integrasi nasional dapat diterjemah.

“Jangan salah tafsirkan kita (kerajaan) mahu menghapuskan pendidikan tiga aliran.

“Sebaliknya kita ingin memperkukuhkan sistem supaya integrasi nasional itu diwujudkan tanpa mengetepikan Dasar Pelajaran Kebangsaan di peringkat sekolah rendah.

“Apabila berada di peringkat menengah, kurikulum baharu untuk mewujudkan penyatuan bangsa Malaysia perlu dilihat dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Ekspresi Negaraku di Dataran Pavilion di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – WD MY