PUTRAJAYA, 11 April – Jangan Salahkan….. Ada pihak tertentu cuba mempersalahkan Barisan Nasional (BN) berhubung pindaan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), bermotifkan politik dan tidak berasas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN tidak terbabit dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Khamis lalu yang menangguhkan perbahasan RUU 355 selepas RUU Persendirian itu dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang.

“BN tidak ada kena mengena dengan isu ini, sekiranya Speaker putuskan untuk benarkan RUU 355 dibahas, kita ikut. Jadi, Kenapa perlu diputarbelitkan dengan pelbagai tohman.

“Pihak pembangkang sengaja melemparkan tuduhan untuk memutarbelitkan rakyat dengan mengatakan BN tahu RUU 355 ini tidak akan dibentangkan pada sidang kali ini, termasuk melabelkan UMNO sebagai penipu.

“Saya harap parti pembangkang menghentikan tuduhan ini termasuk mengelirukan pemikiran rakyat dengan mengatakan keadaan negara akan menjadi huru hara pada masa hadapan,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Rimbunan, di Dewan Serba guna Menara Seri Wilayah, di sini hari ini.

Khamis lalu, Hadi, yang juga Presiden PAS, ketika mahu membentang RUU Persendirian bagi meminda RUU 355, diganggu wakil pembangkang, termasuk Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang mahu menghalangnya.

Bagaimanapun, ia dibenarkan Pandikar untuk membentangkan RUU 355 dan memberi rumusan terhadap usaha menambah baik sistem kehakiman syariah negara ini menerusinya. – WD MY