KUALA LUMPUR, 26 Nov – Adik mendiang Anthony Kevin Morais perlu
tampil membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes pembunuhan abangnya atau
berdepan tindakan kerana menyembunyikan maklumat.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM akan memanggil
Charles Suresh Morais berhubung satu laporan bahawa beliau mempunyai maklumat
tertentu berkaitan kes pembunuhan mendiang abangnya itu.

“Tindakannya tidak mendedahkan maklumat boleh dianggap satu kesalahan kerana
menyembunyikan maklumat. Jika dia (Charles Suresh) benar memiliki maklumat
berkenaan, ia seharusnya diserahkan kepada PDRM untuk membantu siasatan.

“Saya cadangkan dia berkongsi maklumat dengan polis supaya tindakan dapat
diambil. Polis tidak boleh bertindak jika tidak mempunyai maklumat mengenai
mendiang Kevin,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Khalid mengulas laporan sebuah portal berita tempatan hari ini bahawa
maklumat tertentu disimpan di dalam pemacu USB dan kini berada di Amerika
Syarikat bersama seseorang yang diarah mendedahkan kandungannya kepada umum
sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY