YANGON, 24 Nov – Jangan Tarik Diri……Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertegas tidak akan menarik diri daripada kejohanan Piala AFF Suzuki walaupun terdapat desakan yang mahu skuad negara memboikot kejohanan itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan mengikut mana-mana statut persekutuan termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kofederasi Bola Sepak Asia (AFC), bola sepak adalah berkecuali daripada politik, agama dan semua aspek.

“Saya perlu nyatakan FAM tidak akan menarik diri daripada Piala AFF Suzuki. Kalau kita nak tarik diri, sepatutnya dari awal lagi kita sudah buat dan isu (berkenaan masyarakat Rohingya) ini sudah lama.

“Saya berpendapat mengapa FAM atau bola sepak yang menjadi mangsa terhadap isu ini, kenapa tidak lihat kepada perkara lain. Jadi ini boleh menjejaskan moral pemain,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Selain mengharapkan keputusan yang bijaksana dapat dibuat Jemaah Menteri pada mesyuarat esok, Hamidin juga berharap semua pihak tidak menjadikan bola sepak sebagai ‘kambing hitam’ dalam isu yang membabitkan masyarakat di Myanmar.

“Keputusan akhir FAM tetap akan ditentukan barisan Exco dan saya harap Kabinet dapat membuat satu keputusan yang baik.

“Saya nak jelaskan kita hanya bermain peringkat kumpulan di Myanmar dan sekiranya layak, selepas ini kita tidak lagi akan bermain di sini.

“Jadi saya fikir perkara itu tidak perlu menjadi isu. Saya juga harap semua pihak tidak menjadikan bola sepak sebagai kambing hitam dalam isu ini,” katanya. – WD MY