KUALA LUMPUR, 9 Mac – Terpedaya…… Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan pengguna supaya tidak terpengaruh dan tertipu dengan ejen atau sindiket pembayaran bil elektrik mereka kata Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna) Bahagian Pembahagian TNB, Kamaliah Abdul Kadir.

Kamaliah berkata pihaknya tidak pernah melantik ejen persendirian untuk menghubungi atau mendekati masyarakat secara terus bagi tujuan pembayaran bil elektrik.

“Orang ramai diharap tidak mudah terpengaruh dengan sebarang taktik yang digunakan anggota sindiket. Kami ada menerima aduan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 45 peratus.

“Pengguna boleh menjelaskan pembayaran di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB, perkhidmatan Online, Institusi Kewangan, Jabatan atau agensi kerajaan dan syarikat pihak ketiga yang menjalankan operasi kutipan bil daripada lain-lain utiliti dan pembekal perkhidmatan,” katanya.

Kamaliah berkata, sebagai organisasi yang mengutamakan pelanggan, TNB sentiasa memastikan pengguna mendapat maklumat tepat mengenai pembayaran bil elektrik bulanan dan menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan mereka.

“Pengguna perlu tahu bahawa Ejen Kutipan TNB tidak akan menghubungi atau mendekati pengguna bagi memaklumkan bil elektrik yang perlu dibayar dan mengambil bayaran terus daripada pengguna.

“Ejen Kutipan TNB yang sah hanya menerima pembayaran dalam bentuk, Tunai; Debit terus kad kredit; iDebit terus, Akauan Simpanan dan Akaun Semasa serta Ejen Kutipan TNB juga tidak menerima sebarang pembayaran melalui Cek atau Deraf Bank,”katanya

Sementara itu, katanya, pengguna akan dihubungi Ejen Kutipan TNB jika mereka mempunyai tunggakan bil elektrik yang sudah tamat tempoh kredit, namun mereka tidak akan diminta membuat bayaran terus kepada ejen berkenaan.

“Semua pembayaran bil elektrik perlu dijelaskan di saluran pembayaran TNB yang sah sahaja. Jadilah pengguna yang bijak supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya. – WD MY