JERANTUT, 26 Ogos – Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya
dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar
di Tanah Suci.

Menurut Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
berkata, maklumat itu tidak benar dan sehubungan itu jemaah haji tidak perlu
panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu.

“Maklumat yang terdapat dalam media sosial menyatakan duit kita tak boleh
ditukar tak boleh diguna pakai itu satu perkara yang palsu.

Saya telah berhubung dengan Pengarah Operasi Tabung Haji awal pagi tadi
(yang berada di tanah suci) dan beliau menyatakan tiada masalah mengenai
perkara itu.

“Duit kita walaupun duit kecil RM10, RM5 dia orang pun ada (untuk ditukar),”
katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga jemaah
haji Allahyarham Zaleha Yasin di Kota Gelanggi 4 di sini, hari ini.

Dalam pada itu Abdul Azeez turut menyangkal dakwaan kononnya kejatuhan nilai
ringgit telah menyebabkan pengurup wang di Makkah, Jeddah dan Madinah tidak mahu
menerima duit Malaysia.

“Jangan sebar perkara tidak betul, saya faham kadangkala mereka nak kongsi
informasi yang diterima melalui telefon bimbit, tapi sekiranya tidak sahih,
jangan kongsi,” katanya.

Jemaah haji, selain itu turut diingatkan supaya tidak membawa duit yang
banyak sebaliknya menyimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing kerana ia
lebih terjamin.

Beliau berkata, setiap jemaah haji boleh mengeluarkan simpanan sehingga
RM10,000 sehari menerusi kaunter yang disediakan oleh Tabung Haji di maktab
penginapan masing-masing.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pergerakan jemaah Malaysia ke Tanah
Suci berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, penerbangan akhir jemaah haji ke tanah suci dijadualkan pada 16
September ini.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY