SIMPANG RENGGAM, MEI 6: SILAP…Wakil rakyat yang silap membawa diri akan memberi padah bukan sahaja pada dirinya, tetapi kepada parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata justeru, setiap calon baharu yang dipertaruhkan pimpinan Barisan Malaysia (BN) adalah mereka yang sudah dibimbing dan bersedia menjadi wakil rakyat.

“Sikap kita sebagai wakil rakyat, padah kepada parti. Salahnya pembawakan kita, padahnya adalah kepada perjuangan kita dalam parti.

“Apabila Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memperkenalkan muka-muka baharu, beliau minta pandangan juga.

“Contoh, bila nak letak Datuk Onn Hafiz Ghazi di kerusi DUN Layang-Layang, Pengerusi BN Simpang Renggam, Datuk Abd Hamid Abd Rahman kata beliau ikhlas akan membimbing Onn Hafiz.

“Bukan mudah, saya sendiri dulu dalam karier politik saya, diserahkan bulat-bulat oleh orang tua saya kepada Tan Sri Abdul Ghani Othman (bekas Menteri Besar Johor), kemudian pindah ke Parlimen Tenggara, kemudian ke Sembrong pula.

“Tetapi, akhirnya, kita ini diterima kerana keikhlasan dan kejujuran hati kita,” katanya ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Parlimen Simpang Renggam di Dewan Orang Ramai Layang-Layang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan bapa saudara kepada Onn Hafiz berkata, nasib wakil rakyat BN terutama muka baharu akan ditentukan pengundi yang menilai perkhidmatan diberikan.

“Sama ada permulaan karier politik mereka bermula di sini atau di tempat lain, ia hanya permulaan perkhidmatan kepada orang ramai. Sama ada mereka akan diterima atau tidak, ia bergantung kepada perkhidmatan masing-masing,” katanya.-MY WD