KUALA KANGSAR, 3 Ogos – Jangan Lupa….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) agar tidak terbuai dengan kemenangan besar dicatatkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar serta Sungai Besar, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri sebaliknya menasihatkan mereka terus bekerja keras menangani masalah rakyat terutama di peringkat akar umbi serta mengukuhkan kedudukan parti.

“Jangan anggap kemenangan itu (akan) berterusan tanpa kita tentukan strategi PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU) berbeza, senario politik juga berbeza,” katanya berucap pada Majlis Kesyukuran dan Jamuan Aidilfitri 1437H UMNO/Barisan Nasional Negeri Perak 2016 di Dewan Jubli Perak hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pemimpin dan ahli parti harus hadapi putaran politik berbeza yang sering dihadapi dalam BN dan UMNO.

Beliau berkata, Allah sering memberi ujian sama ada dalam bentuk menghadapi kesukaran atau ketika berada dalam nikmat kemenangan atau keselesaan.

“Kita selalu dapat bertahan jika ujian datang ketika dalam (bentuk) kesukaran tetapi sering tenggelam apabila ujian datang ketika menikmati kejayaan,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY