KUALA LIMPUR, SEPTEMBER 26: TIRU BN…Bekas perdana menteri Najib Razak secara sinis mengingatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya tidak mengumumkan harga petrol mingguan pada hari Rabu.

Ini selepas Lim semalam mengumumkan kerajaan akan kembali menetapkan harga minyak runcit secara mingguan susulan penurunan harga minyak mentah global.

“Jangan umum harga petrol mingguan pada hari Rabu.”

“Nanti orang kata copy paste BN. Umum pada hari selasa atau Khamis,” Tulis Najib di Facebooknya.

Lim semalam berkata kaedah penetapan harga jualan runcit minyak secara bulanan akan digantikan secara mingguan bermula 1 Januari 2019.

Sebelum piihan raya umum lalu, kerajaan BN menetapkan hari Rabu untuk mengumumkan kadar baru harga petrol dan diesel berdasarkan sistem apungan terkawal.

Pinjam mesin masa

Sementara itu, Najib mengajak orang ramai ‘meminjam mesin masa’ dan kembali semula ke tahun 2014 bagi mendengar hujah pemimpin DAP, Tony Pua mengenai sistem apungan minyak.

“Kita pinjam mesin masa mereka sekejap untuk balik ke tahun 2014 untuk dengar hujah sambil tersenyum dari Tony Pua,” kata Najib.

Dalam hantaran di Facebook itu, Najib berkongsi pautan berita portal DAP, Roketkini mengenai kenyataan Tony Pua berhubung sistem berkenaan.

Tony Pua pada masa itu mempersoalkan langkah kerajaan melaksanakan kaedah itu yang didakwa bertujuan memungut cukai secara tersembunyi dari rakyat untuk menampung defisit kerajaan.

Justeru itu kata Pua, sekiranya cukai tersembunyi ke atas minyak dilakukan kerajaan, ia adalah tindakan paling tidak beretika.

Sabtu lalu, Najib berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai ke atas minyak petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter sejak bulan lepas.

Najib berkata berdasarkan harga brent semasa iaitu pada sekitar AS$52 setong, sepatutnya RON95 dijual antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga sekarang RM2.20 seliter.-MY WD