KUALA LUMPUR,JUN 12:JANGAN…. Penyanyi Sufian Suhaimi yang pernah berdepan kekecewaan apabila putus tunang pada Februari lalu berharap isu itu tidak lagi dibangkitkan ketika dikunjungi tetamu sepanjang musim Syawal nanti.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu bersyukur, keluarga dan saudara-maranya memahami situasi yang dilalui, malah menerima penjelasan yang diberikannya ketika isu itu hangat diperkatakan.

“Saya yakin mereka tidak akan bangkitkan lagi isu itu apabila berkumpul nanti. Itu yang saya harapkan daripada semua kerana saya sudah melupakan apa yang berlaku,” katanya.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri, Sufian berkata, dia dan keluarganya akan meraikan hari kemenangan umat Islam itu selepas sebulan berpuasa secara sederhana di Mersing, Johor.

Katanya, kesempatan itu dimanfaatkan mereka dengan berkunjung ke rumah sanak-saudara bagi mengeratkan jalinan persaudaraan. Semestinya Sufian turut menyediakan sejumlah wang untuk diberikan kepada kanak-kanak.

“Tidak banyak persiapan yang dibuat. Baju raya ada dalam empat lima pasang, malah sebahagiannya pernah dipakai ketika saya menjayakan rakaman program khas raya.

“Saya juga tidak lupa menghadiahkan persalinan untuk keluarga. Jika ada yang berkenan di mata, saya akan beli. Seronok rasanya apabila dapat membeli buah tangan sebagai kenangan buat keluarga tersayang,” katanya.

Mengimbau memori manis beraya pada zaman kanak-kanak, Sufian berkata, dia masih ingat kenangan dirotan ibunya gara-gara mandi parit ketika pulang meraikan 1 Syawal di Mersing.

Sufian berkata, selepas selesai beraya dengan keluarga, dia bersama sepupunya berpakat untuk bermain di kawasan parit berdekatan ditemani beberapa rakan lain.

“Saya agak nakal ketika kanak-kanak. Saya dan sepupu buat hal apabila kami mandi di parit dengan baju Melayu yang baru sekali dipakai. Pada mulanya, kami hanya bermain-main di tebing, lama-kelamaan terus mandi.

“Malangnya keseronokan kami hanya sementara apabila ibu datang mengejut. Tidak semena-mena kami semua dirotan apabila baju baharu kami habis kotor,” katanya.-MY WD