PULAU PINANG, OGOS 20:JANJI HIPOKRIT…Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang berpendirian bahawa Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad wajar meletakkan jawatan ekoran kegagalan kerajaan yang diketuai beliau gagal menunaikan janji kepada rakyat sepertimana yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU ke 14 lalu.

Ketuanya, Rosesarwandi Saad @ Yaacob berkata sebagai pemimpin nombor satu negara, seharusnya 10 janji dalam 100 hari Pakatan Harapan perlu menjadi agenda paling utama beliau.

“Namun sebaliknya Perdana Menteri bersekongkol serta memberikan pelbagai alasan bagi menutup kegagalan Pakatan Harapan.

“Oleh yang demkian, kami berpandangan adalah sewajarnya Perdana Menteri bertanggungjawab dan meletakkan jawatan atas kegagalan yang amat memalukan dan sekiranya perkara itu tidak berlaku rakyat wajar bangkit dan menolak kerajaan Pakatan Harapan supaya Malaysia dapat diselamatkan,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kata beliau lagi, rakyat pada PRU ke 14 telah meletakkan kepercayaan dengan memberikan undi Pakatan Harapan dengan mengharapkan janji-janji ini ditunaikan.

“Tetapi malangnya, rakyat telah menjadi mangsa pembohongan politik yang paling jijik pernah dilakukan oleh sekumpulan parti politik yang begitu dahagakan kedudukan dan kuasa.

“Jika sebelum ini rakyat Malaysia menjadi mangsa fitnah yang berleluasa kini ianya lebih dasyat apabila harapan dan impian rakyat dinafikan oleh satu pembohongan paling besar dalam sejarah politik negara,” tegasnya.

Atas apa jua alasan sekalipun, ujar Rosesarwandi, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang percaya semua yang berlaku itu lahir dari satu tindakan terancang yang dilakukan tanpa mengambil kira kemampuan serta kedudukan kerajaan dalam mendepani arus perkembangan dunia.

“Pakatan Harapan tidak boleh memberikan alasan atas kegagalan mereka menunaikan janji 100 hari kerana ianya melibatkan integriti dan kredibiliti kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan itu sendiri.

“Jika sebelum ini Pakatan Harapan lebih banyak mempergunakan sentimen kononnya perjuangan mereka atas nama rakyat, kenapa setelah 100 hari mentadbir perkara yang melibatkan kepentingan rakyat keseluruhan yang diwar-warkan masih lagi belum mampu ditunaikan ?

“Bukankah sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan begitu bermegah kononnya semua janji dalam manifesto PRU14 dihasilkan daripada kajian yang begitu profesional, sehinggakan sanggup berjanji sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018, harga minyak akan diturunkan pada keesokkan harinya,” katanya lagi.

Lebih membimbangkan menurutnya, kegagalan menunaikan janji 100 hari ini secara tidak langsung membawa budaya politik baharu yang cukup membahayakan, apabila mengatakan manifesto bukan kitab suci sebagai alasan untuk menutup kegagalan kerajaan Pakatan Harapan.

“Tanpa rakyat sedar, kita telah disajikan dengan satu budaya politik songsang untuk menidakkan janji sedangkan semua kita apatah lagi sebagai orang Islam tahu bahawa janji wajib ditunaikan dan kegagalan menunaikan janji boleh menyebabkan seseorang itu tergolong dalam golongan munafik.

“Bukankah secara tidak langsung ianya turut menyentuh tentang kedudukan Islam yang berpegang kepada iman dan takwa ?

“Dalam masa yang sama apakah kesannya terhadap rakyat selepas ini sekiranya parti-parti politik boleh membuat janji bulan dan bintang semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan rakyat tanpa perlu melunaskan janji-janji tersebut ?

“Kami percaya ianya akan mengundang pilihan parti yang tidak efisien seterusnya membawa kemudaratan kepada negara,” jelasnya.-MY WD