AYER KEROH, 4 April – Budaya Quranik….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam di negara ini untuk bersatu dan mengenepikan segala perbezaan politik bagi mewujudkan budaya Quranik dalam ummah.

Ahmad Zahid berkata, kepemimpinan ulama harus memainkan peranan, seterusnya mengajak umat Islam menjadikan budaya Quranik iaitu al-Quran serta hadis sebagai rujukan utama dalam setiap perkara.

“Apabila umat Islam dapat membentuk akal Quranik dalam ummah, ia sekali gus mewujudkan sahsiah atau keperibadian Quranik, yang akhirnya ummah Quranik diwujudkan.

“Al-Quran perlu dijadikan tapak tasawwur yang visinya jauh berpandangan ke hadapan dan akan menentukan ummah bukan untuk tiga hari atau 30 tahun tapi untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Dewan Seri Negeri, di sini malam tadi.

Tambah Ahmad Zahid, antara perkara yang mengancam perpaduan rakyat masa kini adalah perbezaan fahaman dalam kalangan umat Islam serta penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu, provokasi, fitnah dan sebagainya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi maklumat ini hendaklah digunakan sebaik-baiknya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini memberi ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan untuk menggugat kesucian agama Islam.

“Dalam Perlembagaan kita, agama Persekutuan adalah Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan hala tuju serta meletakkan hukum agama berlandaskan al-Quran dan hadis,” katanya. – WD MY