KUALA LUMPUR, 25 Sept – Satu jawatankuasa khas bagi menyelaras
dan mengurus operasi pusat khidmat sementara gelandangan di sekitar ibu
negara bakal ditubuhkan minggu depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah
Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Beliau yang melawat pusat gelandangan di Jalan Medan Tuanku di sini berkata
jawatankuasa itu akan mengurus antara lain soal kewangan, pengurusan dan
penyelenggaraan pusat-pusat sedemikian.

“Buat masa ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan
soal penyelengaraan pusat, manakala pihak NGO akan membantu dari segi pengurusan
secara bergilir-gilir,” kata Adnan.

Sehingga kini empat NGO iaitu Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen
Society, Need To Feed The Need dan Kaseh4U telah menyatakan kesediaan mereka
untuk menggunakan pusat tersebut bagi mengedar makanan sambil turut
mengguruskannya, katanya.

Adnan berkata selain di Jalan Medan Tuanku, sebuah lagi pusat yang berupa
bangunan tiga tingkat sedang dibina di Bulatan Pahang yang mampu menyediakan 250
buah katil untuk golongan gelandangan.

DBKL juga akan membeli seunit lagi bangunan di Chow Kit untuk tujuan sama,
katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY