KUALA LUMPUR, 28 Dis – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan ditubuh bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup.

Menurut Timbalan Perdana Menteri beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkenaan.

Antara menteri terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Deklarasi Prioriti 2016 – Ekonomi Keutamaan Kita hari ini.

Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu dijadual bermesyuarat pada awal Januari depan bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh 50 NGO berkenaan.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu merupakan kesinambungan kepada Jawatankuasa Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang turut dipengerusikannya.

“Apa yang dibincangkan oleh jawatankuasa peringkat tertinggi ini akan dibawa ke jawatankuasa kabinet untuk diambil langkah sewajarnya,” kata timbalan perdana menteri.

Beliau bagaimanapun meminta pemimpin NGO dan rakyat memahami faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti pengangkutan awam serta tol.

“Marilah kita sama-sama tidak menunding jari tetapi sebaliknya mencari jalan terbaik, apakah cara holistik untuk menangani kos sara hidup.

“Ini tentunya melibatkan perjanjian-perjanjian konsesi beberapa projek raksasa sebelum ini dan harus dilihat kos sara hidup ini bergantung juga kepada bahan-bahan import yang secara relatifnya mempunyai hubungan dengan kos pengeluaran dan kos pengimportan,” katanya. – Suraya Ahmad / Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY