KUALA LUMPUR, 13 OGOS – SEBAB…. Antara sebab kenapa tulisan rasmi Bahasa Melayu ditukar daripada Jawi kepada Rumi pada masa lalu adalah kerana mengambil kira keperluan masyarakat bukan Melayu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Justeru beliau mempersoal mengapa masyarakat kini bertelagah dalam soal tiga halaman pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Darjah 4 yang ingin dilaksanakan kerajaan.

“Saya tua, masih ingat masa nak capai merdeka.

“Oleh kerana orang bukan Melayu susah nak belajar Jawi, kita buat keputusan untuk guna tulisan Rumi, sebab nak bagi mudah orang bukan Melayu.

“Orang Melayu (masih) kena (belajar) Jawi kerana kena baca Al-Quran. Apa kita nak kelahi? Kita sudah bagi pertimbangan khusus untuk kepentingan (masyarakat) bukan Melayu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Langkawi hari ini.

Mahathir yang juga anggota parlimen kawasan itu menjawab soalan berkenaan bantahan berterusan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran di sebalik kompromi oleh Kementerian Pendidikan.

Antara perubahan yang dibuat, seperti pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 3 Ogos lalu, ialah pelaksanaan pembelajaran ialah secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Terdahulu, Mahathir juga mengecam pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai “rasis”.

Mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”, Dong Zong dua hari lalu melancarkan petisyen bagi menggesa kerajaan membatalkan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Isu itu mencetuskan bantahan sejumlah masyarakat bukan Melayu.

Sesetengah pemimpin DAP – antaranya pemimpin veterannya Lim Kit Siang – dibidas anggota parti itu kerana dilihat bersetuju dengan perkara itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet Rabu ini. – WD MY