BAGAN DATUK, MAC 24: JELAJAH…. Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 (JPB 2018), yang bertujuan meningkatkan tahap pendidikan kaum Bumiputera, memulakan siri penjelajahan mereka di lokasi pertama iaitu di Parlimen Bagan Datuk hari ini.

Penjelajahan di lokasi pertama JPB 2018 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk pagi ini.

Kira-kira 5,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dari sekitar Bagan Datuk, Teluk Intan, dan Sabak Bernam mengunjungi lokasi pertama jelajah itu.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi membantu pelaksanaan JPB 2018 dalam usaha meramaikan lagi anak Melayu dan Bumiputera diberi peluang melangkah ke menara gading.

Lokasi kedua yang akan dijelajah oleh skuad JPB selepas ini ialah daerah Batu Kurau, Larut.

Sebanyak 32 lokasi dipilih dalam melaksanakan misi mencari, mengenal pasti dan membantu masyarakat Bumiputera bagi meneruskan pengajian mereka ke peringkat pendidikan tinggi.

– MY WD