KUALA LUMPUR, 21 Jun – Jemaah haji Malaysia musim ini dijangka
menggunakan Metro Line, perkhidmatan keretapi elektrik yang menghubungkan
Arafah, Muzdalifah dan Mina, semasa menjalani ibadah itu di tanah suci nanti.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, syarikat Prasarana
Malaysia Bhd (Prasarana) akan mengendalikan operasi itu pada tahun ini.

Pada kebiasaannya sebelum ini, jemaah haji menggunakan bas untuk ke
destinasi itu. Perkhidmatan Metro Line sepanjang 18km itu akan memudahkan dan
memendekkan masa perjalanan jemaah haji.

“Kalau kita naik haji musim ni, kita akan naik Metro Line, operatornya
adalah Prasarana yang telah mendapat kontrak bernilai RM900 juta…orang Islam
dari Malaysia sendiri yang mengendalikan Metro Line ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Program Ramadan
Al-Mubarak peringkat nasional anjuran Biro Kebajikan UMNO di Masjid Negara, di
sini hari ini.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Lembaga Tabung
Haji, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Azeez Abdul Rahim,
Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua bahagian UMNO Wilayah Persekutuan.

Najib yang mengadakan lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini, turut meninjau
operasi perkhidmatan tersebut.

Perdana Menteri berkata rundingan dan perbincangan antara kedua-dua negara
masih lagi berjalan agar Malaysia mendapat tambahan kuota haji.

“Kita sedia maklum kuota haji terhad. Kalau ada jemaah mohon hari ini, tidak
mustahil 71 tahun akan datang baru dapat giliran tunaikan haji.

“Kerana itu kita sentiasa buat rundingan dan mohon bantuan dari Arab Saudi.
Kita harap ada rezeki (tambah kuota),” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO, menyampaikan kurma,
air zam-zam dan kain baju Melayu kepada ketua-ketua UMNO bahagian Wilayah
Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk disampaikan ke masjid-masjid
seluruh negara.

Menurutnya ini merupakan komitmen berterusan parti dalam memartabatkan dan
memuliakan hubungan silaturahim umat Islam khasnya sepanjang bulan Ramadan yang
mulia ini.-Faizal Dato Badarudin,Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY