ALOR SETAR, 27 Ogos – Jaga Displin……Jemaah haji dinasihatkan agar menjaga disiplin sepanjang mengerjakan Rukun Islam ke lima di tanah suci bagi memastikan kelangsungan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, menegaskan semua jemaah haji diingatkan tidak mengambil kesempatan untuk mengadakan perhimpunan atau terbabit dengan mana-mana demonstrasi semasa berada di sana.

Baginda mahu semua jemaah bersatu hati dari berlakunya perbalahan demi kesejahteraan ummah selain dapat menjalankan ibadah dengan lancar dan tenang.

“Patuhilah segala nasihat dan arahan dari pihak berkuasa Arab Saudi serta setiap peraturan yang digariskan pihak Lembaga Tabung Haji.

“Ini bagi menjamin keselamatan jemaah serta demi menjaga nama baik negeri Kedah dan Malaysia selain menjaga hubungan baik dengan Arab Saudi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Mengucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Negeri Kedah Ke Tanah Suci Musim Haji 2016 di Pusat Konvensyen dan Hotel Tabung Haji di sini.

Turut berangkat, Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Baginda turut meminta jemaah haji mendoakan agar Malaysia terus aman dan dijauhi dari serangan pengganas seperti yang berlaku di negara lain.

Dalam majlis itu, seramai 150 jemaah dari Kedah dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada jam 12.35 pagi ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka akan digabungkan dengan jemaah dari Kelantan (150 orang) dan Kelana Jaya (189 orang) di KLIA dengan menaiki pesawat A380, MH8040 yang dijadualkan berlepas jam 5.30 pagi ini dan dijangka tiba ke Jeddah pada 9.30 pagi (waktu Arab Saudi). – WD MY

LEAVE A REPLY