MAKKAH, 22 Sept – Jemaah haji Malaysia hari ini mula bergerak ke
Arafah untuk berwukuf, bagi melaksanakan rukun penting dalam ibadat haji.

Jemaah haji Malaysia yang menetap di enam maktab di Tanah Suci Makkah mula
bergerak ke Arafah secara berperingkat-peringkat mengikut kumpulan penerbangan
haji mereka (KT penerbangan) dengan menaiki bas.

Bas-bas mula bergerak mengikut enam jadual waktu berlepas iaitu pada pukul 1
pm (6 pm waktu Malaysia), 3 pm dan 5 pm, 6pm, 8pm dan 10pm waktu Arab Saudi.

Lebih tiga juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah
haji dari Malaysia akan berwukuf di Arafah mulai esok, selepas 12 hari
berlakunya tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 Sept lepas yang
mengorbankan lebih 100 nyawa termasuk tujuh jemaah Malaysia.

Tempoh berwukuf dalam ibadat haji bermula apabila tergelincirnya matahari
(masuknya waktu zohor) pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar subuh pada 10
Zulhijjah.

Di Arafah, jemaah haji Malaysia ditempatkan di lebih 2,000 khemah, di tapak
yang sama seperti musim haji lepas.

Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah
berkata jemaah haji akan berada di Arafah sehingga 9 Zulhijjah sebelum bergerak
ke Muzdalifah pada malamnya (9 Zulhijjah).

“Jemaah haji wajib bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah
mulai pukul 11.40 pm sehingga terbitnya waktu fajar pada 10 Zulhijjah. Pada
10,11 dan 12 Zulhijjah, jemaah akan berada di Mina untuk ibadat melontar,”
katanya.

Tengku Aziz berkata setiap jemaah haji juga boleh merujuk kepada pembimbing
ibadat TH sekiranya mereka menghadapi sebarang kemusykilan berkaitan pelaksanaan
ibadat berkenaan.

“Setiap jemaah perlulah menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan ibadat
bagi memperoleh haji mabrur,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY