KUALA NERANG, 19 Feb – Jemaah Pemangku Sultan telah memperkenan
senarai baharu Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah, yang dijadual
mengangkat sumpah jawatan itu pada Isnin ini.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini berkata senarai
itu dipersembahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan pada Rabu lepas semasa beliau
menghadiri Mesyuarat Ke-240 Majlis Raja-raja di Kuala Lumpur.

“…bagaimanapun, senarai nama itu akan hanya diketahui pada 22 Feb
(Isnin) ini… anda semua tunggulah pada tarikh itu (untuk mengetahuinya),”
katanya kepada media selepas melawat Sekolah Menengah Agama As-Siddiqiah di
Padang Kerasak, Naka di sini, yang terbakar pada Ahad
lepas.

Majlis mengangkat sumpah exco dan pengurniaan tauliah pelantikan itu
dijadual berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini, di hadapan
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan
Badlishah.

Mengenai kebakaran sekolah itu, Ahmad Bashah berkata beliau akan meminta
syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri supaya membantu
membangunkan semula sekolah agama itu.

“Kerajaan negeri telah memberikan bantuan segera sebanyak RM100,000 dan
pihak-pihak lain juga ada membantu. Saya akan mengarahkan syarikat-syarikat GLC
untuk turun tengok dan bantu,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting adalah melihat pelajar-pelajar itu dapat
meneruskan pembelajaran seperti biasa. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY