MASJID TANAH, 30 Jun – Selamat Dikebumikan…. Jenazah adik ipar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kamarulzaman Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Solok Air Batu, Kampung Durian Daun, di sini, sebentar tadi.

Allahyarham Kamarulzaman, 59, yang juga adik kepada Datin Seri Hamidah Khamis, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju, jam 10.59 pagi tadi akibat komplikasi jantung.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di surau hospital berkenaan sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kampung Durian Daun di sini, kira-kira jam 2.45 petang, diiringi kira-kira 500 ahli keluarga termasuk Ahmad Zahid dan Hamidah serta penduduk tempatan.

Jenazah yang tiba di Masjid Salmah Khamis, Durian Daun di sini, sekali lagi disembahyang dan diimamkan oleh Imam Satu Masjid Salmah Khamis, Abu Said Jaafar.

Hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Allahyarham yang juga anak ketiga daripada lima beradik meninggalkan seorang balu, Azaryasmin Mahat, 55, dan dua anak, Mohamad Akhlami, 29; dan Atiqah Hanani, 27. – WD MY