KUANTAN, 16 Jun – Kebumi…. Jenazah juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, dibawa keluar dari Surau Al-Taqwa, Pangkalan Udara Kuantan di sini untuk diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor.

Jenazah dibawa menaiki C130 Hercules bersama beberapa ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Manakala jenazah  Mejar Mohd Hasri Zahari   diterbangkan ke Jempol, Negeri Sembilan.

Jenazah Mohd Hasri akan dibawa menggunakan helikopter bersama beberapa ahli keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya di FELDA Lui Muda, pagi ini.

Terdahulu, jenazah Yazmi dan jenazah Mohd Hasri dibawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas bedah siasat kira-kira jam 5.45 pagi.

Jenazahnya dikafankan dan disembahyangkan di Surau Al-Taqwa yang diimamkan Pegawai Agama Pangkalan Udara Kuantan, Mejar Mohd Zaki Kassim.

Selepas solat jenazah berkenaan, keranda Yazmi dibalut dengan Jalur Gemilang dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda penghormatan.

Yazmi, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, terkorban selepas pesawat Hawk 108 yang dinaiki mereka dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu, semalam. – WD MY