KUALA LUMPUR, 5 April – Jenazah Tan Sri Jamaluddin Jarjis tiba untuk disemadikan selepas solat Asar di Makam Masjid Negara.

Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja mengiringi jenazah Anggota Parlimen Rompin itu yang juga bekas Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat.

Jamaluddin, yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bersama empat orang lagi terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin (9M-1GB) yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang semalam.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Mohd Khalil Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malik; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Yang turut hadir Pengerusi Sime Darby Bhd, Tan Sri Abdul Ghani Othman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Terdahulu, jenazah Jamaluddin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) disembahyangkan di Masjid Negara oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail.

Jenazah Jamaluddin, 64, sebelum itu turut dibawa ke Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang untuk solat jenazah, sebelum dibawa pulang ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan.- Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY