MUAR, 5 Jan – Jentera…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan semua jentera Barisan Nasional dan UMNO supaya bersiap siaga dari segi strategi menawan hati pengundi terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas timbalan presiden itu berkata gerak kerja jentera adalah melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing terutama di kawasan-kawasan tumpuan yang mana kerusinya BN  kecundang atau mempunyai kelebihan sedikit.
Beliau berkata jentera BN dan UMNO perlu memastikan agar hati dan pemikiran pengundi di kawasan tumpuan itu dapat dimenangi supaya kerusi di kawasan
tumpuan memenangi majoriti yang diperlukan.

“Saya merasakan bahawa seteru politik telah melipatgandakan kerja-kerja mereka dan saya yakin kalau usaha-usaha (jentera BN dan UMNO) melebihi daripada seteru politik kita, maka kawasan-kawasan tumpuan akan dapat kita peroleh semula kemenangan,” kata beliau kepada media selepas berjumpa dengan kepimpinan UMNO Bahagian Muar, Ledang, Pagoh dan Ledang di Bangunan UMNO Muar, di sini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan jentera UMNO supaya turut membantu jentera BN daripada parti-parti komponen dalam mendekati kumpulan sasaran bukan Melayu agar mereka turut memihak kepada BN pada PRU14.
Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira sejam berjumpa dengan barisan kepimpinan empat UMNO Bahagian dalam satu majlis tertutup di sini.
Antara anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut hadir termasuk ADUN Sungai Balang Zaiton Ismail dan ADUN Serom Abd Razak Minhat.
Ahmad Zahid, yang tiba kira-kira 3.55 petang itu, turut dibawa melawat bangunan dan kemudahan yang disediakan di situ termasuk melihat potret-potret
pemimpin UMNO terdahulu. – WD MY